Blog merupakan
salah satu medium media sosial yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat
kepada para pembaca. Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor
& Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat beberapa etika dalam penulisan blog.
Antaranya ialah, tajuk yang menarik. Setiap blog haruslah menggunakan tajuk
menarik yang mampu menarik perhatian pembaca. Tajuk merupakan perkara pertama
yang dapat membuat sama ada pembaca akan terus membaca penulisan penulis atau
sebaliknya.
Seterusnya,
penulisan blog mestilah mempunyai cerita yang menarik. Setiap cerita yang
ditulis di dalam blog haruslah sebuah cerita menarik yang boleh menarik hati
setiap pembaca. Sebelum menulis, penulis perlu memastikan bahawa isi cerita
yang akan disampaikan itu lain daripada yang lain. Penulis harus mahir menyusun
cerita dan maklumat di dalam penulisan blog.
Penulisan
blog juga harus dimasukkan ayat-ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk
membuatkan lebih manarik. Ayat yang ditulis tidak perlu terlalu formal kerana
ia bukanlah satu penulisan yang mempunyai format tertentu. Penulis seharusnya
menulis dengan cara lebih santai supaya pembaca tidak mudah berasa bosan untuk
membaca. Pembaca akan mudah bosan jika ayat yang ditulis itu terlalu formal
sifatnya.
Di samping
itu, penulis blog harus memastikan bahawa terdapat hujah terbaik untuk
menghuraikan penulisan. Hujan yang dikemukan haruslah benar dan tepat agar
pembaca dapat mempercayai penulisan tersebut. Huraian bagi setiap penulisan
haruslah diambil daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Penulis harus
memastikan bahawa maklumat yang hendak ditulis dipetik daripada beberapa kajian
atau sumber yang benar.
Justeru itu,
setiap blog yang ditulis perlu dikaitkan dengan berita terkini. Segala maklumat
yang disampaikan perlulah maklumat terbaharu dan bukannya maklumat yang lama. Pembaca
menginginkan maklumat atau berita terkini yang akan ditulis dari semasa ke semasa.
Jika penulis sentiasa mengemukan berita lama, pembaca boleh beranggapan bahawa
penulis kurang peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku.
Seorang penulis
blog haruslah menggunakan perkataan dan
struktur ayat yang ringkas. Seperti yang kita tahu, pembaca blog terdiri
daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Jadi, penulis tidak perlu
menggunakan perkataan atau ayat yang terlalu tinggi tahapnya hingga menyukarkan
pembaca untuk membacanya. Struktur ayat perlulah ringkas dan padat sesuai
dengan isi yang ingin disampaikan.
Tambahan
pula, penulisan di dalam blog perlu dipastikan dapat dibaca dan difahami. Ayat yang
dibina untuk penulisan blog perlulah ayat yang mudah untuk dibaca dan difahami
oleh semua golongan pembaca. Blog bukanlah sesuatu yang bersifat formal, malah
ia merupakan satu medium menyampaikan maklumat secara santai dan lebih ringkas.
Penulis harus peka akan persekitaran blog dan pembaca sebelum membina penulis.
Lebih-lebih
lagi, blog yang dihasilkan harus dipastikan bahawa dapat berkomunikasi dengan
pembaca. Penulis tidak perlu menulis blog sesuka hati tanpa dapat berkomunikasi
dengan para pembaca. Hal ini agar maklumat yang disampaikan itu dapat dijadikan
sebagai rujukan pembaca. Komunikasi dua hala ini sangat penting dalam proses
penyampain maklumat agar penulis tahu kemahuan pembaca dan pembaca mudah
memahami maklumat tersebut.
Selain itu,
penulis blog harus memasukkan moral dan nilai estetika dalam setiap penulisan
mereka. Setiap maklumat yang ditulis perlulah mempunyai nilai dan moral kepada
para pembaca. Kebiasaannya, pembaca akan memilih untuk membaca penulisan yang
mempunyai nilai dan moral. Hal ini kerana ia dapat menjadi pedoman hidup buat
pembaca blog. Penulis perlulah memastikan bahawa maklumat yangdisampaikan itu mempunyai
keunikan tersendiri.
Semua penulis
blog yang ingin menulis blog dalam bentuk pendidikan perlulah seseorang yang
berilmu. Penulis harus membuat sedikit penyelidikan atau kajian ringkas sebelum
menulis sesuatu maklumat. Hal ini bagi memastikan bahawa maklumat yang ditulis
itu bukanlah satu rekaan yang dapat membuat pembaca untuk mempercayainya. Jika seseorang
itu tidak berilmu tetang perkara yang hendak disampaikan, ia akan menyampaikan maklumat yang kurang tepat.
Kesimpulannya, sebelum menulis blog kita sebagai penulis
haruslah mematuhi etika penulisan blog yang sedia ada. Hal ini bagi memastikan
penulis tidak salah menggunakan medium penyampaian maklumat ini.
No comments:
Post a Comment